Thursday, July 26, 2007

Mengimbas Sejarah

Oleh Ropikah Ahmad

TARIKH 11 Mei lalu genaplah usia UMNO 60 tahun. Dalam usia ini seharusnya ia telah matang dan mampu untuk memajukan diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Apatah lagi bangsa Melayu yang mendukung perjuangan UMNO berada di bumi sendiri, tanah air sendiri dan tempat tumpah darah.

Sepanjang 60 tahun pelbagai suka duka telah dilalui, onak dan ranjau berduri telah dirintangi dan pelbagai spekulasi dapat ditepis. UMNO tetap UMNO namun persoalan kini, UMNO untuk siapa? Jawapan paling bernas adalah untuk generasi akan datang, anak bangsa pewaris negara, UMNO adalah satu perjuangan yang akan menjadi pusaka kepada generasi pelapis akan datang.

Tetapi persoalan lain muncul pula, siapa mereka? Anak bangsa yang telah kuat iman, tinggi ilmu di dada, mampu menongkah arus merentas rintangan dan berani mengharung gelombang malah meredah badai. Anak Melayu bangsa berdaulat yang akan membawa kesinambungan kemajuan Malaysia ke arah kecemerlangan.
UMNO sebagai wadah perjuangan, menjadi landasan untuk merintis kegemilangan dan menjadi bangsa terbilang. Jika diimbas semula sejarah, tertubuhnya UMNO kerana perjuangan dan kesedaran terhadap kepentingan dan harga diri bangsa Melayu. UMNO menyuarakan kesangsian, keraguan dan keresahan bangsa sendiri ditelunjuk penjajah.

British cuba mengubah kepentingan orang Melayu dan menghapuskan kedaulatan Raja-raja Melayu melalui Gagasan Malayan Union. Warta Kerajaan British menyiarkan Kertas Putih pembentukan Malayan Union di Tanah Melayu ini pada 22 Januari 1946 di Parlimen British. Sememangnya kandungan Kertas Putih ini mengejutkan bangsa Melayu keseluruhannya yang mengaanggap maruah bangsa dipermainkan dan kedaulatan negara dipersendakan oleh penjajah. Pelaksanaan Malayan Union akan menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu serta menjadikan taraf Tanah Melayu iaitu negeri bawah naungan kepada tanah jajahan takluk British dengan menggunakan taktik yang keji.

Penghinaan yang sebegini telah membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan bangsa Melayu dengan lahirnya Dato’ Onn sebagai peneraju dalam kepimpinan perjuangan UMNO. Kesatuan bangsa Melayu bergerak serumpun, berjalan seiring membawa maruah negara, menjulang agama Islam dan menatang bangsa berdaulat. Justeru, orang Melayu bangun menentang dengan penuh semangat kebangsaan. Sepanjang bulan Januari dan Februari 1946, selepas Malayan Union diwar-warkan, pelbagai tunjuk perasaan dan perhimpunan diadakan di seluruh Tanah Melayu.

Di setiap kampung hinggalah ke bandar-bandar besar agenda bangsa Melayu tetap sama iaitu mengutuk perbuatan kotor penjajah yang memanipulasikan orang Melayu untuk kepentingan mereka. Perbuatan wakil Kerajaan British iaitu Sir Harold MacMichael yang mendapatkan tandatangan dan persetujuan Raja-raja Melayu melalui tipu helah menjadi cercaan dan cemuhan dalam setiap perhimpunan. Bukan itu sahaja, setiap agenda, perjumpaan atau majlis yang dilaksanakan oleh Kerajaan British tidak akan mendapat sambutan oleh bangsa Melayu mahupun pegawai Kerajaan Inggeris sendiri.

Namun begitu, tanpa menghiraukan keadaan di Tanah Melayu, Kerajaan British telah mengisytiharkan tarikh berkuatkuasanya Malayan Union iaitu pada 1 April 1946 dengan Sir Edward Gent dilantik sebagai Gabenor bagi Kerajaan Malayan Union. Tindakan Kerajaan British ini telah memulakan bibit baru apabila orang Melayu bertindak berkabung dengan melilit kain putih di songkok selama seminggu bermula 1 April hingga 7 April 1946 sebagai bantahan dan dukacita dengan kewujudan Malayan Union. Dikatakan pada masa itu, tunjuk perasaan diadakan secara besar-besaran di seluruh negeri.

Menurut Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu oleh Ibrahim Mahmud, “Lebih 50,000 orang Melayu Kedah mengadakan perarakan raksasa sepanjang lebih dua batu anjuran Kesatuan Melayu Kedah di Alor Setar. Seramai 36,000 orang Melayu berhimpun di Kota Bharu berarak menunjuk perasaan membantah Malayan Union.” Pada ketika itu perpaduan bangsa Melayu terjalin dari segenap lapisan masyarakat iaitu dari golongan atasan termasuk Raja-raja Melayu, pemimpin kebangsaan hinggalah kepada rakyat biasa.

Justeru, Malayan Union tidak bertahan lama dan Kerajaan British terpaksa akur dengan perjuangan bangsa Melayu yang menolak kepimpinan baru. Menurut Biografi Dato’ Onn: Hidup Melayu karya Anwar Abdullah, sejak lenyapnya Malayan Union dan apabila Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan sebagai gantinya , banyak perubahan besar telah berlaku. Antara perubahan yang dapat dilihat apabila Dato’ Onn berjaya mengumpul seluruh kebangsaan Melayu untuk mengganyang Malayan Union atas dasar ‘Malaya untuk Melayu.’ Perjalanan 60 tahun sepanjang usia UMNO ini adalah berlandaskan maruah bangsa Melayu dengan perpaduan dan kemuafakatan menjadi teras utama.

Menumbangkan Malayan Union adalah satu permulaan perjuangan dan pengisian selepas itu adalah satu wawasan utama. Menurut Anwar Abdullah dalam Biografi Dato’ Onn: Hidup Melayu, Dato’ Onn pernah menelah bahawa masa hadapan orang Melayu akan gelap dan akan bertambah gelap jika tidak ada persefahaman dan perpaduan.

Beliau bimbang perpecahan akan melemahkan kedudukan orang Melayu, dan dengan lemahnya kedudukan ekonomi serta ceteknya darjah pelajaran maka umat Melayu tidak akan dapat memelihara kedudukan dan keistimewaan sebagai kaum Bumiputera.

Jika perpaduan dan semangat kebangsaan tidak dipelihara oleh genarasi pelapis, bakal pemimpin negara maka segala perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pejuang kemerdekaan akan menjadi sia-sia.

No comments: