Wednesday, July 18, 2007

Memperkasakan Puteri UMNO - 1







Memandangkan UMNO di antara parti komponen yang menerajui Barisan Nasional ,adalah wajar bagi pihak kepimpinan atasan mengambil langkah bagi memastikan struktur parti itu kukuh serta jitu. Apabila UMNO teguh, agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini akan terus dapat dipelihara martabatnya.

Kita mahukan agar nasib generasi akan datang terpelihara. Berikutan senario sosial dan politik semakin menggugat, matlamat dan status quo ini hanya akan kekal jika Islam dipelihara dan bangsa Melayu terus-menerus dipuncak kepimpinan. Tiada alternatif bagi mencapai ideal ini walaupun ia memerlukan pengorbanan hingga ke titisan darah terakhir. Justeru, Puteri UMNO perlu segera merancang dan memastikan ideal ini dilaksanakan dengan berkesan dan teratur.

Masanya telah tiba bagi Puteri UMNO bertindak lebih serius dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh kepimpinan parti kerana Puteri UMNO adalah harapan kepada pembaharuan dan revolusi impian segenap lapisan.

Pemimpin atasan mahukan kita bersama-sama mengembeling tenaga melahirkan idea muda dan berkualiti dalam usaha menjadikan negara cemerlang, gemilang dan terbilang dalam pelbagai aspek, terutama di segi keagamaan. Ini kerana kita sebagai manusia adalah khalifah Allah swt yang diamanahkan mendukung dan seterusnya memartabatkan Islam di dunia fana’ ini.

Adalah disarankan agar kepimpinan Puteri UMNO menitik beratkan pembangunan moral kerana remaja di negara ini sedang menghadapi masalah keruntuhan. Mereka berdepan dengan pelbagai gejala yang mudah dapat merosakkan akhlak serta akidah. Ini amanah besar yang perlu dilaksanakan secara terancang. Puteri perlu berkerja keras agar nilai Islam dipupuk menjadi model kepada golongan muda dan seterusnya menjamin kesinambungannya dengan rakyat generasi akan datang.

Sekiranya Puteri UMNO berazam melahir dan mendidik anak mereka dengan nilai-nilai Islam, tidak mustahil satu hari nanti akan muncul golongan Ulamak professional yang berkebolehan dalam pelbagai bidang, baik ilmu dunia mahukan akhirat. Apabila ini berlaku, InsyaAllah, akan sejahteralah Islam dan Melayu di negara ini. Visi ini mungkin dirasakan sukar di capai, akan tetapi jika bersungguh-sungguh, kita akan sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah, kerana kita sebagai Umat Islam adalah Pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin , seperti diriwayatkan Bukhari Muslim.

Apakah pendekatan yang perlu diambil dalam menrealisasikan misi tersebut? Saya yakin ramai daripada kalangan Puteri di luar sana mempunyai pelbagai idea dan pengetahuan bagi menjayakan misi ini.

Puteri UMNO pusat perlu ditadbir dengan lebih berkesan. Keberkesanan hanya akan tercetus daripada kepimpinan yang baik, lantaran melahirkan contoh yang boleh diikuti dan diterap di peringkat negeri, bahagian dan seterusnya cawangan di serata negara. Apabila kemantapan pentadbiran dan kepemimpinan tercapai, maka terciptalah satu standard atau piawaian yang selanjutnya perlu dipelihara. Ini akan dapat dipastikan menerusi kaedah “pemantauan pelbagai lapisan.”

Ke arah mencapai matlamat itu, Ketua Puteri UMNO Malaysia perlu memantau barisan EXCO beliau dengan cara berhikmah agar perasaan hasad dengki, kronisme,ketidaksetiaan pada parti, berkepentingan sendiri, prejudis dan sebagainya dapat dibuang jauh daripada hati dan sanubari mereka. Ikatan silaturrahim juga perlu dipupuk dengan baik di kalangan pemimpin atasan Puteri kerana itulah cara yang baik dalam memastikan perpaduan kita semua. Semua pasti setuju perpaduan aset itu penting bagi Keperkasaan sesebuah organisasi.

Selaras dengan Perkara 1, Kesetiaan : Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO semua ahli hendaklah cintakan parti dan:

i. Patuh kepada Perlembagaan dan Tata-etika Ahli
ii. Mengikuti perintah-perintah parti
iii. Menjalankan dasar-dasar parti
iv. Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti
v. Menjaga rahsia-rahsia parti
vi. Memelihara nama baik dan maruah parti
vii. Sentiasa menunjukkan tingkahlaku yang sopan serta tertib.

Saya yakin UMNO tidak pernah menyimpang daripada landasan agama Islam. Kerana ini, kita harus menunjukkan kesetiaan kita. Apapun kepincangan dan keburukan di kalangan ahli UMNO adalah pada diri mereka sendiri, kerana perjuangan suci UMNO sentiasa memastikan Islam dan Melayu berada di posisi yang selamat di negara ini.

Bersyukur ke hadrat Allah swt kerana kami wanita muda sedar dan berazam menjalankan amanah dan sedia menyumbangkan bakti dan keringat demi generasi akan datang. Asas kesetiaan adalah rasa tanggungjawab dan terhutang budi kepada kepimpinan negara yang banyak membantu rakyat sejak kemerdekaan.

Tidak dinafikan hanya Allah swt yang Maha Berkuasa, mengasihi dan pemurah, dan kerana IzinNYA kita ditadbir oleh sebuah kerajaan yang diterajui UMNO selama ini. Allah swt juga yang memberi laluan bagi kita semua ditadbir dengan sebaik mungkin dan menikmati pelbagai kemudahan yang diusahakan UMNO.

bersambung...

No comments: