Wednesday, February 20, 2008

Terengganu pecah tradisi letak calon wanita



Setelah 30 tahun, Terengganu kini menampilkan wanita sebagai calon dalam pilihan raya umum ke 12, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok iaitu Nordiana, Ketua Puteri Terengganu.

Calon wanita terakhir ialah Syarifah Azah Apple Syed Shith, bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1974 mewakili Perikatan (sekarang BN), tetapi tewas kepada calon Pas.

Nordiana, 34, yang juga Exco Pergerakan Puteri Umno dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada Januari 2006 adalah juga Pengerusi Kuantan Medical Centre Sdn Bhd dan bekas Pegawai Seranta Felda, Jabatan Timbalan Perdana Menteri.

Memiliki ijazah Sarjana Muda dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pernah menjadi guru sementara dan pegawai kepada Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri (2000-2002) dan Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Terengganu antara 2003 hingga 2005.

Menurut Ketua Puteri Negeri Terengganu ini, Puteri akan terus memperjuangkan nasib belia wanita dan ibu tunggal bagi memastikan golongan ini terus mendapat pembelaan daripada ditindas dengan menjaga kebajikan dan sosial mereka di mana ianya seiringan dengan pelan pembangunan yang sedang pesat berlaku di Terengganu selepas BN mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2004.

Puteri Umno Zon Timur bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk mengadakan sesi temu duga dalam usaha memudahkan graduan mendapatkan pekerjaan dan secara langsung dapat mendekatkan mereka dengan aktiviti Puteri.

Lebih 600 graduan terbabit dalam program berkenaan, sekali gus menunjukkan kempen keahlian menerusi cara itu mampu meraih lebih ramai belia menyertai Puteri Umno negeri.

Menurut Nordiana , Puteri memberi penekanan khusus kepada cara mengendalikan komputer kepada ahli, selain mengadakan pelbagai aktiviti remaja seperti beriadah. Antaranya, bola jaring dan futsal dan pada masa terdekat ini akan menganjurkan permainan paintball dan beberapa aktiviti kepada remaja seperti seminar dan bengkel.

"Terengganu mempunyai 10 pasukan yang kuat untuk menyertai Pertandingan Futsal Puteri Umno Malaysia, sekali gus menunjukkan kubu pertahanan untuk mengekalkan jumlah undi mampu dipertahankan," katanya.

Beliau berkata, seperti tahun lalu, program Puteri Menyusur Akar juga akan terus dilaksanakan dengan memberi bantuan kebajikan kepada ibu tunggal berusia 35 tahun ke bawah yang dilaksanakan di semua 32 DUN membabitkan lapan Parlimen.

Bantuan diberikan dalam bentuk kemahiran berdasarkan minat dan kecenderungan ibu tunggal itu untuk memulakan perniagaan seperti menghantar mereka mengikuti kursus jahitan atau masakan.

Syabas kepada calon dari Puteri kerana mendapat pengiktirafan daripada kepimpinan Parti akan sumbangan serta kepakaran yang dihulurkan demi memajukan negara.

No comments: