Wednesday, February 20, 2008

Ong Ka Ting bawa budaya politik baru



Oleh AZNAN BAKAR

SUKAR untuk mencari pemimpin yang sanggup melepaskan jawatan ketika berada di puncak kuasa.

Berdasarkan kepada senario politik semasa, kebanyakan pemimpin akan memberi pelbagai alasan untuk mewajarkan mereka terus diberi peluang memimpin.
Tetapi itu tidak berlaku pada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.
Pada satu majlis di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau secara terbuka memberitahu pilihan raya umum kali adalah yang terakhir untuknya.

Beliau memutuskan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum 2011 kerana berpegang kepada polisi parti itu yang diperkenalkannya ketika mengambil alih jawatan Presiden MCA pada 2003.

Jika diambil kira faktor umur, Ka Ting masih muda berbanding pemimpin lain. Tahun ini usianya baru 51. Pada 2011 umurnya 56 tahun. Juga masih muda untuk seorang pemimpin politik.

Tetapi bagi Ka Ting umur bukan ukuran untuk beliau terus kekal sebagai pemimpin, apatah lagi bertanding dalam pilihan raya.
Tetapi beliau berpegang kepada prinsip bahawa Presiden MCA tidak boleh berkhidmat melebihi sembilan tahun atau tiga penggal.

Sebab itu beliau secara terbuka mengumumkan bahawa pilihan raya umum kali ini merupakan yang terakhir baginya.

"Tahun ini umur saya sudah 51 dan saya sudah berkhidmat kepada parti lebih empat tahun. Ini merupakan kali terakhir saya bertanding dalam pilihan raya," katanya.
Pendirian Ka Ting itu dilihat oleh banyak pihak sebagai satu tanda aras baru yang perlu dicontohi oleh pemimpin-pemimpin lain.

Ka Ting telah memberikan satu contoh yang baik bahawa seseorang pemimpin itu tidak perlu berada di tampuk kuasa untuk tempoh yang terlalu lama.
Sebaliknya, selepas suatu tempoh tertentu mereka perlu melepaskan jawatan itu dengan rela bagi memberi ruang kepada muka baru.

Sikap budiman Ka Ting yang berpegang kepada prinsip itu diharap dapat membentuk budaya baru dalam politik negara ini. Ia boleh dijadikan ikutan bukan sahaja oleh pemimpin-pemimpin lain dalam komponen BN tetapi juga parti pembangkang.
Apabila telah berkhidmat untuk tempoh tertentu, mereka perlu melepaskan jawatan yang dipegang tanpa perlu didesak oleh mana-mana pihak terutama rakyat.

Langkah itu bukan sahaja dapat memberi laluan kepada muka baru menjadi pemimpin, tetapi yang paling penting ia dapat mengelakkan perpecahan dalam parti.
Pemimpin yang secara sukarela mengundurkan diri setelah tiba masanya pasti akan lebih dihormati dan diingati sampai bila-bila.

Ka Ting dilantik sebagai Presiden MCA bagi menggantikan Tun Dr. Ling Liong Sik pada 2003 dan mengekalkan jawatan itu pada pemilihan MCA 2005.
Di bawah pimpinannya, pada Jun 2003 Jawatankuasa Pusat MCA telah meluluskan cadangan supaya jawatan Presiden MCA, Ketua Pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu ditetapkan tidak melebihi tiga penggal.

Oleh itu, pengumuman Ka Ting di Pulau Pinang merupakan komitmen beliau untuk melihat parti komponen kedua terbesar dalam BN itu sentiasa segar dengan kehadiran pemimpin-pemimpin muda yang berwibawa.

"Tidak seperti pembangkang di mana calon boleh terus bertanding walaupun sudah tua. MCA ada polisi. Pemimpin hanya boleh berkhidmat maksimum sembilan tahun atau tiga penggal," katanya.

Semoga budaya sihat yang ditanam oleh Ka Ting dalam MCA ini dapat dijadikan teladan dalam memastikan persekitaran politik negara terus segar dengan pemimpin yang berwibawa.

No comments: