Wednesday, March 19, 2008

Jadikan Kedaulatan Bangsa Teras Perjuangan

Oleh Zailan Mohamad


KUALA LUMPUR: UMNO yang telah melepasi enam dasawarsa tetap meletakkan kedaulatan bangsa Melayu sebagai landasan utama dalam hasrat untuk memaksimumkan pembangunan dan membawa kecemerlangan kepada bangsanya.

Tokoh veteran UMNO yang juga merupakan ahli lembaga disiplin UMNO, Dato’ Wan Nik Wan Ismail menyatakan bahawa bangsa Melayu perlu terus berpegang kepada agenda untuk memartabatkan bangsa Melayu bukan sahaja untuk menerajui kuasa politik sebaliknya memegang kuasa-kuasa lain yang yang selama ini bangsa Melayu ketinggalan.

“Melayu adalah sebuah bangsa yang mempunyai sejarahnya, malah pernah dianggap sebagai bangsa agung semasa zaman kegemilangan kesultanan Melayu 500 tahun yang lampau.

“Namun begitu, empayar yang agung boleh musnah akibat kerakusan dan hasad dengki yang dimiliki dalam diri,” katanya, merupakan bekas peneraju syarikat pembuatan kereta Nasional PROTON.

Beliau beranggapan bahawa segala yang berlaku ke atas bangsa Melayu pada masa yang lalu akan berulang kembali, iaitu Kerajaan Melayu akan jatuh dan dijajah semula sekiranya sikap orang Melayu tidak berubah.

“Mentaliti orang Melayu perlu berubah sekiranya kemajuan dan kejayaan hari ini ingin terus dikecapi kerana sikap iri hati yang wujud hanya akan membunuh bangsa sendiri.

“Orang Melayu mesti rajin berusaha dan tidak leka dengan hiburan semata-mata,” kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa agenda Melayu mesti diteruskan dan dijana agar setiap individu meletakkan agenda ini sebagai nilai yang utama dalam kehidupan.

“Agenda Melayu ini meletakkan maruah bangsa di tempat tertinggi iaitu dari segi ekonomi, kepentingan politik, kemuliaan dan agama yang tidak akan dipertikaikan.” Kata beliau lagi.

Beliau turut mengkritik sikap generasi muda Melayu hari ini yang leka dengan kesenangan dan hiburan semata-mata tanpa ada yang menilai sudut pandangan perjuangan yang sebenar.

“Kelekaan dan keasyikan ini adalah musuh utama yang akan menumbangkan bangsa Melayu sendiri.” Tegas beliau.

Beliau menggesa agar generasi pelapis sedar bahawa masa hadapan yang akan dilalui bergantung kepada diri sendiri untuk menentukannya.

“Untungnya orang Melayu hari ini kerana masih mempunyai kuasa politik untuk menentukan hala tuju bangsa Melayu seluruhnya sedangkan dalam bidang ekonomi dan pendidikan bangsa asing lebih dominant,” kata beliau.

Beliau mengingatkan, sekiranya kuasa politik ini tidak digunakan dengan betul kerana adanya sikap dengki dan iri hati maka tidak mustahil kuasa politik ini juga jatuh kepada bangsa asing.

“Oleh itu, bangsa Melayu sebagai golongan yang menerajui kepimpinan negara perlu tegas dalam mempertahankan hak sendiri.

“Apa yang telah termaktub dalam perlembagaan iaitu berkaitan dengan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa kebangsaan tidak boleh dipertikaikan malah perlu terus dipertahankan.” Tambah beliau.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa generasi muda yang bakal menjadi pemimpin agar bersikap berani dan tegas dalam memimpin seluruh bangsa Melayu serta memastikan tidak ada bangsa lain yang berani untuk mempertikaikan hak-hak penduduk pribumi Malaysia.

No comments: