Sunday, July 29, 2007

Demokrasi kita cuba digugat BA: Anwar dedahkan dia akan menjemput campurtangan asing.

Dato Seri Anwar ibrahim dalam ceramah konvensyen BERSIH di Dewan Perhimpunan Cina, Selangor pada 20 Julai menyebut bahawa beliau sedang berusaha berunding dengan Jimmy Carter (bekas Presiden Amerika Syarikat) untuk membawa Carter Center memantau Pilihan Raya Umum di Malaysia.

Anwar berkata pada bulan lepas beliau telah dijemput oleh duta-duta asing untuk membentangkan bukti-bukti tentang kepincangan pilihan raya di Malaysia. Beliau telah serahkan satu dokumen lengkap mengenai bukti-bukti penyelewengan Malaysia kepada setiap duta asing itu.

Anwar juga menyebut beliau akan menggunakan semua media antarabangsa termasuk Al-Jaazera, BBC, CNN dan Bloomberg bagi mendedahkan kepincangan demokrasi di Malaysia.

Program itu yang dianjurkan oleh BERSIH diketuai Syed Shahril (MTUC) dengan kerjasama DAP, PAS dan PKR. Turut berucap Lim Guan Eng (DAP), Haji Hadi Awang (PAS) dan Dato Seri Anwar Ibrahim (PKR). Pengerusi Majlis ialah Mohmamad Sabu (PAS).

Thursday, July 26, 2007

Mengimbas Sejarah

Oleh Ropikah Ahmad

TARIKH 11 Mei lalu genaplah usia UMNO 60 tahun. Dalam usia ini seharusnya ia telah matang dan mampu untuk memajukan diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Apatah lagi bangsa Melayu yang mendukung perjuangan UMNO berada di bumi sendiri, tanah air sendiri dan tempat tumpah darah.

Sepanjang 60 tahun pelbagai suka duka telah dilalui, onak dan ranjau berduri telah dirintangi dan pelbagai spekulasi dapat ditepis. UMNO tetap UMNO namun persoalan kini, UMNO untuk siapa? Jawapan paling bernas adalah untuk generasi akan datang, anak bangsa pewaris negara, UMNO adalah satu perjuangan yang akan menjadi pusaka kepada generasi pelapis akan datang.

Tetapi persoalan lain muncul pula, siapa mereka? Anak bangsa yang telah kuat iman, tinggi ilmu di dada, mampu menongkah arus merentas rintangan dan berani mengharung gelombang malah meredah badai. Anak Melayu bangsa berdaulat yang akan membawa kesinambungan kemajuan Malaysia ke arah kecemerlangan.
UMNO sebagai wadah perjuangan, menjadi landasan untuk merintis kegemilangan dan menjadi bangsa terbilang. Jika diimbas semula sejarah, tertubuhnya UMNO kerana perjuangan dan kesedaran terhadap kepentingan dan harga diri bangsa Melayu. UMNO menyuarakan kesangsian, keraguan dan keresahan bangsa sendiri ditelunjuk penjajah.

British cuba mengubah kepentingan orang Melayu dan menghapuskan kedaulatan Raja-raja Melayu melalui Gagasan Malayan Union. Warta Kerajaan British menyiarkan Kertas Putih pembentukan Malayan Union di Tanah Melayu ini pada 22 Januari 1946 di Parlimen British. Sememangnya kandungan Kertas Putih ini mengejutkan bangsa Melayu keseluruhannya yang mengaanggap maruah bangsa dipermainkan dan kedaulatan negara dipersendakan oleh penjajah. Pelaksanaan Malayan Union akan menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu serta menjadikan taraf Tanah Melayu iaitu negeri bawah naungan kepada tanah jajahan takluk British dengan menggunakan taktik yang keji.

Penghinaan yang sebegini telah membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan bangsa Melayu dengan lahirnya Dato’ Onn sebagai peneraju dalam kepimpinan perjuangan UMNO. Kesatuan bangsa Melayu bergerak serumpun, berjalan seiring membawa maruah negara, menjulang agama Islam dan menatang bangsa berdaulat. Justeru, orang Melayu bangun menentang dengan penuh semangat kebangsaan. Sepanjang bulan Januari dan Februari 1946, selepas Malayan Union diwar-warkan, pelbagai tunjuk perasaan dan perhimpunan diadakan di seluruh Tanah Melayu.

Di setiap kampung hinggalah ke bandar-bandar besar agenda bangsa Melayu tetap sama iaitu mengutuk perbuatan kotor penjajah yang memanipulasikan orang Melayu untuk kepentingan mereka. Perbuatan wakil Kerajaan British iaitu Sir Harold MacMichael yang mendapatkan tandatangan dan persetujuan Raja-raja Melayu melalui tipu helah menjadi cercaan dan cemuhan dalam setiap perhimpunan. Bukan itu sahaja, setiap agenda, perjumpaan atau majlis yang dilaksanakan oleh Kerajaan British tidak akan mendapat sambutan oleh bangsa Melayu mahupun pegawai Kerajaan Inggeris sendiri.

Namun begitu, tanpa menghiraukan keadaan di Tanah Melayu, Kerajaan British telah mengisytiharkan tarikh berkuatkuasanya Malayan Union iaitu pada 1 April 1946 dengan Sir Edward Gent dilantik sebagai Gabenor bagi Kerajaan Malayan Union. Tindakan Kerajaan British ini telah memulakan bibit baru apabila orang Melayu bertindak berkabung dengan melilit kain putih di songkok selama seminggu bermula 1 April hingga 7 April 1946 sebagai bantahan dan dukacita dengan kewujudan Malayan Union. Dikatakan pada masa itu, tunjuk perasaan diadakan secara besar-besaran di seluruh negeri.

Menurut Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu oleh Ibrahim Mahmud, “Lebih 50,000 orang Melayu Kedah mengadakan perarakan raksasa sepanjang lebih dua batu anjuran Kesatuan Melayu Kedah di Alor Setar. Seramai 36,000 orang Melayu berhimpun di Kota Bharu berarak menunjuk perasaan membantah Malayan Union.” Pada ketika itu perpaduan bangsa Melayu terjalin dari segenap lapisan masyarakat iaitu dari golongan atasan termasuk Raja-raja Melayu, pemimpin kebangsaan hinggalah kepada rakyat biasa.

Justeru, Malayan Union tidak bertahan lama dan Kerajaan British terpaksa akur dengan perjuangan bangsa Melayu yang menolak kepimpinan baru. Menurut Biografi Dato’ Onn: Hidup Melayu karya Anwar Abdullah, sejak lenyapnya Malayan Union dan apabila Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan sebagai gantinya , banyak perubahan besar telah berlaku. Antara perubahan yang dapat dilihat apabila Dato’ Onn berjaya mengumpul seluruh kebangsaan Melayu untuk mengganyang Malayan Union atas dasar ‘Malaya untuk Melayu.’ Perjalanan 60 tahun sepanjang usia UMNO ini adalah berlandaskan maruah bangsa Melayu dengan perpaduan dan kemuafakatan menjadi teras utama.

Menumbangkan Malayan Union adalah satu permulaan perjuangan dan pengisian selepas itu adalah satu wawasan utama. Menurut Anwar Abdullah dalam Biografi Dato’ Onn: Hidup Melayu, Dato’ Onn pernah menelah bahawa masa hadapan orang Melayu akan gelap dan akan bertambah gelap jika tidak ada persefahaman dan perpaduan.

Beliau bimbang perpecahan akan melemahkan kedudukan orang Melayu, dan dengan lemahnya kedudukan ekonomi serta ceteknya darjah pelajaran maka umat Melayu tidak akan dapat memelihara kedudukan dan keistimewaan sebagai kaum Bumiputera.

Jika perpaduan dan semangat kebangsaan tidak dipelihara oleh genarasi pelapis, bakal pemimpin negara maka segala perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pejuang kemerdekaan akan menjadi sia-sia.

Wednesday, July 25, 2007

UCAPAN DASAR KONGRES WANITA KEADILAN KEEMPAT

Hajah Fuziah Salleh, Ketua Wanita KeADILan (Kongres Keadilan ke Empat)
Petikan dari:
http://www.sepangonline.blogspot.com/

AKHIR KATA
Jelas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, tidak mempunyai Pelan Tindakan yang menyeluruh. Beliau telah gagal dan terlalu kabur kefahamannya untuk menghayati Pelan Tindakan Pemberdayaan di peringkat antarabangsa.

Hasrat kaum wanita di Malaysia supaya Kementerian Wanita mengejar kayu ukur antarabangsa bagi kesaksamaan untuk wanita tidak kesampaian di negara kita hari ini.Ternyata juga beliau jauh daripada mampu untuk menghayati konsep pemberdayaan yang kita maksudkan dalam konteks negara timur yang penuh dengan sifat dan ciri-ciri ketimuran demi membawa penyelesaian kepada permasalahan dalam negara.

GAGAL, GAGAL dan GAGAL lagi – itulah penilaian kita terhadap prestasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat

Kita semua maklum, PKR dilahirkan atas dasar ketidak-puasan hati pemimpin yang tersingkir dari pentadbiran kerajaan. Mereka mempermainkan emosi para penyokong dengan menghasut rakyat menuduh kerajaan Negara zalim sebagainya.

Tetapi, tindak-tanduk mereka dalam rancangan menjatuhkan kepimpinan Negara membenarkan mereka menghentam apa yang kerajaan lakukan untuk kebaikan rakyat.

Adakah jika mereka diberi peluang memerintah, keadaan akan menjadi bertambah baik?

Mahukah pengundi memperjudikan kemakmuran dan kestabilan Negara dengan beralih undi kepada mereka?

Sedangkan segala yang berlaku adalah ketentuan Allah swt, mereka jatuh dari kepimpinan Negara ini kerana agenda yang tersirat , tak lain ingin berkuasa serta membawa pengaruh luar mencampuri urusan Negara ini.

Negeri Kelantan adalah satu contoh terbaik percubaan pengundi beralih arah pemerintahan. Hanya setelah Pilihanraya ke 11 dimana Barisan Nasional hampir menang, rakyat Kelantan dapat merasai nikmat pembangunan yang selama ini kurang diendahkan oleh pemerintah PAS.

Menyentuh kepada ucapan penutup Bekas Ketua Wanita Keadilan, yang menghentam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, itu semata-mata gimik mereka yang ketagih kuasa.

Pembaca boleh melayari http://www.kpwkm.gov.my/ di mana dimuatkan pelbagai maklumat KPWKM untuk membangunkan Wanita, serta masyarakat di Malaysia keseluruhannya.

Tanyalah kepada kaum Wanita di seluruh Negara pelbagai kemudahan, pembangunan mereka perolehi sejak Kementerian itu ditubuhkan. Khususnya peningkatan Ilmu Pengetahuan di kalangan kaum Wanita pelbagai program dianjurkan bagi memperkayakan minda kaum Wanita di Negara ini.

Para pembangkang di negara ini semuanya lupa daratan. Mereka lupa, bahawa kerajaan melalui peruntukan kewangan dan taraf keistimewaan Melayu menaikkan diri mereka dari segi pendidikan, ekonomi dan politik. Dengan izin Allah swt mereka berada di mana mereka ketika ini.

Kerana taksub dengan cerita dan gorengan Anwar Ibrahim yang telah hilang kuasa gara-gara kerakusan diri sendiri, perpaduan Melayu menjadi pertaruhan.

Tidakkah mereka sedar Anwar bersetongkol dengan pelbagai pihak semata-mata mendapatkan kuasanya semula yang telah ditarik oleh Allah swt sedikit masa dulu?

Tindak-tanduk Anwar perlu diperhalusi oleh penyokongnya. Jika tidak kelak nanti, Negara tergadai, Agama dan Bangsa dipijak dan disepak orang luar.

Bersama kita berdoa, itu tidak terjadi kepada kita dan peninggalan kepada generasi akan datang.

Melayu dan Melaka

Rancangan memusnah bangsa Melayu bermula dengan kejatuhan Melaka pada 1511. Sebelum itu, Melayu adalah satu kuasa politik yang mashur di seluruh nusantara ini dan bahasa perantaraannya bahasa Melayu dan , jika ingin berdagang di kawasan itu, mesti berbahasa Melayu.

Setelah musnahnya kuasa politik , kuasa ekonomi pula sasaran para penjajah. Dituruti kuasa pentadbiran. Apabila kuasa politik, ekonomi dan pentadbiran musnah, para penjajah mula mencabut akar umbi Melayu yang tanpanya , Melayu hilang arah pedoman. Akar umbi tersebut seperti sejarah Melayu, kitab-kitab lama, sekolah pondok, agama dan segala pertalian silam yang Melayu ada dengan bangsa lain didunia ini.

Lemahnya akar umbi , mudah sekali disuntik pemikiran baru kedalam roh orang Melayu. Pemikiran baru ini berdasarkan ideologi barat seperti sekular, modenisasi, demokrasi, hak asasi, dan entah apa-apa lagi. Penjajah membina institusi khas untuk rakyat di sini membolehkan mana-mana rakyat yang bijak untuk mengikuti pelajaran dan cara pemikiran mereka. Hasilnya kita dapat lihat hari ini banyak manusia Melayu menyentuh hal Islam, terutamanya pemimpin, tetapi tidak mempraktikkannya.

Bagi mengeluarkan diri daripada pusingan kemunduran ini, amat perlu minda Melayu di overhaulkan. Menurut Kerajaan, Melayu tak maju kerana terlalu manja dan malas. Melayu pula menyalahkan kerajaan kurang memberi bantuan, hanya menolong kroni sahaja. Yang pasti, kedua-dua pernyataan diatas tak boleh membantu orang Melayu untuk maju. Yang boleh memajukan orang Melayu ialah diri mereka sendiri. Pertolongan Kerajaan sekadar bonus besar buat Melayu.

Tuesday, July 24, 2007

Ciri-ciri Pemimpin - 1



Pemimpin bukanlah satu jawatan yang mudah seperti yang disangka. Andai manusia tahu bebanan harus dipikul oleh seseorang pemimpin, mungkin tidak ada seorang pun manusia berebut menjadi pemimpin.

Dewasa ini kita lihat ramai manusia tergila-gilakan jawatan sebagai pemimpin sehingga sanggup bergolok gadai, caci mencaci, menabur fitnah, bahkan tak kurang yang rela bunuh membunuh semata-mata ingin menjadi seorang pemimpin.

Islam meletakkan pemimpin sebagai pemegang tanggungjawab dan amanah, bukannya suatu keistimewaan yang perlu dibangga-banggakan. Besar atau kecil tanggungjawab itu berbeza bergantung kepada besar atau kecilnya bidang kepemimpinan.

Dimulai dengan pemimpin kepada diri sendiri, bertanggungjawab kepada semua perkara yang membabitkan diri sendiri, sehinggalah pemimpin kepada sebuah negara yang bertanggungjawab kepada semua rakyat.

Pernah suatu ketika , Abu Zar Al-Ghifari menyatakan hasratnya menjadi seorang pemimpin kepada Rasulullah SAW. Lantas Rasulullah SAW menepuk bahu Abu Zar dan bersabda, bermaksud: “Wahai Abu Zar, engkau adalah lemah, sedangkan pemimpin itu suatu amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, melainkan mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipan sudah ditentukan dalamnya.”


Rasulullah SAW menganggap Abu Zar lemah bukanlah dari aspek ketaatan kepada agama atau kelemahan Abu Zar untuk melawan hawa nafsu, tetapi kelemahan ketara mengikut pengamatan Rasulullah SAW ialah kemampuan Abu Zar untuk bertegas dalam sesuatu keputusan, sedangkan kemampuan membuat keputusan itu amat penting bagi seseorang pemimpin sama ada keputusan itu berpihak kepada kawan atau lawan.

Dalam peredaran arus kehidupan, wujudnya demokrasi, seseorang bertanding dalam parti untuk menjadi pemimpin. Baik dalam UMNO, PAS dan PKR mereka yang merasakan diri standing pemimpin berlumba-lumba bertanding untuk jawatan tersebut.

Bagi memenangi hati rakyat, PKR contohnya melemparkan tohmahan kononnya kerajaan yang ada di Negara ini zalim dan perlu ditumbangkan. Mereka dengan yakin dan takabur mendabik dada melaungkan merekalah yang perlu dipilih rakyat demi kesejahteraan Negara.

Sedangkan kini berduyun-duyun ahli PKR keluar parti kerana tidak berpuas-hati dengan pengurusan Pusat PKR , mereka dari Kedah dan beberapa negeri lain. Di sesi penggulungan Kongres PKR Mei 2007 lalu, Penasihatnya, Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa jawatan dalam parti PKR (adakah dengan persetujuan ramai) antaranya Fuziah Salleh yang kalah bertanding jawatan Naib Presiden dilantik sebagai Timbalan Pengarah Biro Pilihanraya?

Tahukah anda semua, pemimpin PKR kaya-kaya belaka? Anwar Ibrahim hartanya “Berbillion” , mana datangnya? Bagaimana dia dan keluarga dapat meneruskan gaya hidup mewah walhal gaji Timbalan Perdana Menteri berapalah sangat?

Ezam dan Azmin juga tidak kurang hebatnya. Ezam kononnya bergiat dengan “GERAK” ingin membasmi rasuah. Ingat lagi kisah dokumen berpeti-peti yang ingin didedahkan tidak lama dulu? Mana dokumen itu? Sekadar ingin mencetus emosi rakyat dan menggugat kestabilan Negara ini.


Ketika zaman Anwar, kerajaan Malaysia dilanda masalah rasuah yang sangat ketara.

Pak Lah pula setelah memegang tampuk pemerintahan berazam memulihkan Negara daripada gejala rasuah. Kita berdoa agar Negara kita selamat daripada bala Allah swt lantaran pengurusan yang tidak berlandaskan Islam dan rasuah yang berleluasa yang telah diterapkan dizaman Anwar dahulunya.


Negara kita 50 tahun merdeka, janganlah kerana gilakan kuasa, rakyat teraniaya, kestabilan dan keharmonian Negara bercelaru gara-gara bekas pemimpin yang telah hilang kuasanya.

PAS Akui Terdapat Blogger Yang Melampau Terhadap Islam

Dipetik dari blog Publius Melayu

Ahli Dewan Negara dari Parti PAS Senator Wan Ubaidah Wan Omar mengakui ada blogers yang membuat kenyataan melampau, mengancam dan membuat fitnah serta boleh merosakkan akidah umat Islam.

Bercakap ketika membahaskan Rang Undang-undang Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007 di Dewan Negara semalam Wan Ubaidah menyebut tentang laman blog Murtad Malaysia di mana orang-orang Melayu yang murtad memberi kenyataan menyatakan kenapa mereka mahu keluar Islam dan sebagainya.

Sementara itu, Senator Mumtaz Md Nawi berkata, kerajaan seharusnya mengkaji sama ada betul atau tidak apa yang ditulis oleh mana-mana blogers sebelum mengambil apa-apa tindakan.

Perjuangan Puteri

Mengimbas kembali kata-kata semangat daripada Presiden UMNO Malaysia tidak lama dulu:

Utama dalam ucapan beliau adalah mengenai halangan serta rintangan yang sentiasa di hadapan kita sepanjang perjuangan UMNO, khususnya Puteri dalam menghadapi jalan berliku dalam usaha meneruskan perjuangan tersebut.

Di dalam perjuangan UMNO tentunya ada di kalangan ahli yang tidak menyenangi kerja-kerja kita lalu mencari pelbagai alasan dan cara untuk menyusahkan mereka yang ikhlas berjuang untuk parti.

Justeru, Pak Lah berpesan agar tidak ada di kalangan Puteri yang patah hati disebabkan sikap segelintir pemimpin UMNO yang gemar mengecewakan golongan muda, lantaran menyebabkan mereka tidak sanggup menghadapi cabaran seterusnya dan meninggalkan perjuangan yang masih belum selesai. Perkara ini bunyinya senang tetapi payah untuk dilaksanakan, bagaimanapun Puteri harus menelan walaupun pahit rasanya.

Di kalangan ahli Puteri yang masih mentah , selalulah ditanamkan di dalam diri semangat yang kental agar api perjuangan sentiasa membakar dengan keikhlasan tanpa mengharapkan balasan. Akan tetapi, di depan mata pula Puteri sentiasa melihat pemimpin yang tidak berlaku adil kepada para ahli UMNO sendiri. Mereka mengamalkan kronisme dimana hanya yang rapat dengan mereka akan dipilih untuk melengkapkan perlantikan di bahagian walaupun mereka yang terpilih tidak memenuhi syarat, kelayakan dan lebih serius lagi langsung tidak berkhidmat untuk masyarakat. Mereka ini akan hanya terserlah semasa diadakan majlis rasmi yang dihadiri VIP.

Walaupun keadaan sedemikian jelas tidak adil, namun 'demi keutuhan parti', walaupun pincang pemilihan disebabkan penyakit berkroni ini, rata-rata ahli terpaksa menerima segala keputusan.

Sesungguhnya perjuangan kita masih belum selesai. Walaupun kerajaan telah memperkenalkan berbagai program serta menyediakan tongkat dalam usaha memantapkan ekonomi, kualiti hidup serta pembangunan Islam dan bangsa di negara ini, namun masyarakat Melayu masih mundur dan ketinggalan jauh di belakang berbanding bangsa lain, terutamanya, Cina.

Pencapaian orang Cina dalam ekonomi, kewangan, perniagaan, dan pendidikan amat ketara dan tinggi berbanding orang Melayu. Keadaan ini telah memarakkan semangat puteri untuk turut memainkan peranan lebih serius dalam membantu UMNO mempertahankan keutuhan dan posisi teraju kepimpinan negara.

Pak lah juga menekankan supaya ahli-ahli Puteri tidak mengambil sikap sambil lewa walaupun berada dalam suasana yang mudah melekakan. Ahli Puteri perlu pertingkatkan usaha dalam menjamin agar UMNO terus berkuasa di negara ini. Blogger ini bersetuju dengan pesanan Pak Lah supaya ahli-ahli Puteri tidak bergaduh sesama sendiri kerana perbalahana dalaman akan memudahkan pihak pembangkang menanggguk di air keruh, lantaran menggugat perpaduan dalam pergerakan ini sendiri.

Keyakinan untuk menang juga perlu dijadikan sandaran kerana hanya menerusi kesungguhan dan pengorbanan pilihanraya umum akan datang dapat menentukan kemenangan bagi kita semua di dalam UMNO.

Pak Lah mengingatkan Puteri agar yakin akan perjuangan UMNO yang memperjuangkan Agama, Bangsa serta Negara. Dengan keyakinan itu, maka masalah dan halangan dapat diatasi dengan mudah dan redha. Segala cabaran yang merintangi laluan perjuangan perlu dijadikan pembelajaran sentiasa.

Perjuangan UMNO tidak meninggalkan agama dan pelbagai cara dilakukan demi memperkukuhkan Islam. Puteri juga perlu menegakkan perjuangan yang suci bersih dan tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang merosakkan perjuangan murni. Puteri UMNO yang ada kewibawaan mempunyai harga serta maruah diri.

Perjuangan yang suci tanpa mengharapkan balasan dan pujian adalah yang terbaik kerana Puteri akan berasa bahagia kerana dapat berkhidmat dengan ikhlas. Sebaliknya, jika mengharapkan apa-apa dalam melakukan sesuatu akan menjerus kepada kehampaan jika yang dinantikan tidak kesampaian.

Pak Lah juga menekankan aspek “ bekerja bersama saya , bukannnya bekerja untuk saya”. Apa yang disarankan Pak Lah adalah agar rakyat berkerja dan berusaha bersungguh-sungguh dalam menrealisasikan matlamat negara.

Slogan “Jujur, Amanah serta Adil dan Saksama” perlu diteliti dan diikuti agar kita sentiasa lebih komited pada nilai-nilai murni amalan yang kita laksanakan.