Wednesday, February 20, 2008

Ong Ka Ting bawa budaya politik baru



Oleh AZNAN BAKAR

SUKAR untuk mencari pemimpin yang sanggup melepaskan jawatan ketika berada di puncak kuasa.

Berdasarkan kepada senario politik semasa, kebanyakan pemimpin akan memberi pelbagai alasan untuk mewajarkan mereka terus diberi peluang memimpin.
Tetapi itu tidak berlaku pada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.
Pada satu majlis di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau secara terbuka memberitahu pilihan raya umum kali adalah yang terakhir untuknya.

Beliau memutuskan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum 2011 kerana berpegang kepada polisi parti itu yang diperkenalkannya ketika mengambil alih jawatan Presiden MCA pada 2003.

Jika diambil kira faktor umur, Ka Ting masih muda berbanding pemimpin lain. Tahun ini usianya baru 51. Pada 2011 umurnya 56 tahun. Juga masih muda untuk seorang pemimpin politik.

Tetapi bagi Ka Ting umur bukan ukuran untuk beliau terus kekal sebagai pemimpin, apatah lagi bertanding dalam pilihan raya.
Tetapi beliau berpegang kepada prinsip bahawa Presiden MCA tidak boleh berkhidmat melebihi sembilan tahun atau tiga penggal.

Sebab itu beliau secara terbuka mengumumkan bahawa pilihan raya umum kali ini merupakan yang terakhir baginya.

"Tahun ini umur saya sudah 51 dan saya sudah berkhidmat kepada parti lebih empat tahun. Ini merupakan kali terakhir saya bertanding dalam pilihan raya," katanya.
Pendirian Ka Ting itu dilihat oleh banyak pihak sebagai satu tanda aras baru yang perlu dicontohi oleh pemimpin-pemimpin lain.

Ka Ting telah memberikan satu contoh yang baik bahawa seseorang pemimpin itu tidak perlu berada di tampuk kuasa untuk tempoh yang terlalu lama.
Sebaliknya, selepas suatu tempoh tertentu mereka perlu melepaskan jawatan itu dengan rela bagi memberi ruang kepada muka baru.

Sikap budiman Ka Ting yang berpegang kepada prinsip itu diharap dapat membentuk budaya baru dalam politik negara ini. Ia boleh dijadikan ikutan bukan sahaja oleh pemimpin-pemimpin lain dalam komponen BN tetapi juga parti pembangkang.
Apabila telah berkhidmat untuk tempoh tertentu, mereka perlu melepaskan jawatan yang dipegang tanpa perlu didesak oleh mana-mana pihak terutama rakyat.

Langkah itu bukan sahaja dapat memberi laluan kepada muka baru menjadi pemimpin, tetapi yang paling penting ia dapat mengelakkan perpecahan dalam parti.
Pemimpin yang secara sukarela mengundurkan diri setelah tiba masanya pasti akan lebih dihormati dan diingati sampai bila-bila.

Ka Ting dilantik sebagai Presiden MCA bagi menggantikan Tun Dr. Ling Liong Sik pada 2003 dan mengekalkan jawatan itu pada pemilihan MCA 2005.
Di bawah pimpinannya, pada Jun 2003 Jawatankuasa Pusat MCA telah meluluskan cadangan supaya jawatan Presiden MCA, Ketua Pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu ditetapkan tidak melebihi tiga penggal.

Oleh itu, pengumuman Ka Ting di Pulau Pinang merupakan komitmen beliau untuk melihat parti komponen kedua terbesar dalam BN itu sentiasa segar dengan kehadiran pemimpin-pemimpin muda yang berwibawa.

"Tidak seperti pembangkang di mana calon boleh terus bertanding walaupun sudah tua. MCA ada polisi. Pemimpin hanya boleh berkhidmat maksimum sembilan tahun atau tiga penggal," katanya.

Semoga budaya sihat yang ditanam oleh Ka Ting dalam MCA ini dapat dijadikan teladan dalam memastikan persekitaran politik negara terus segar dengan pemimpin yang berwibawa.

FAKTA PILIHAN RAYA KE-12

Hari mengundi -8 Mac (Sabtu)

Penamaan calon - 24 Februari (Ahad)

Tempoh berkempen -13 hari

Pemilih awam -10,701,054

Pemilih pos -221,085

Jumlah parti politik berdaftar -30

Jumlah kerusi Parlimen -222

Jumlah kerusi DUN -505

Monday, February 18, 2008

Pilihanraya: dosa teramat jika memilih perosak umat


Oleh Ustaz Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis

Ada insan yang membayangkan mimpi indah dan ada juga yang bimbangkan mimpi gundah. Saya tidak ingin memperkatakan tentang nasib mereka, tapi ingin memperkatakan tentang tangan-tangan yang ingin memilih mereka. Samada tangan itu pemimpin tertinggi pertubuhan-pertubuhan politik, atau rakyat yang akan mengundi nanti.

Saya amat tertarik dengan surat Saidina Abu Bakr al-Siddiq yang mengandungi wasiat tentang calon pilihannya dalam menggantikan beliau yang ketika itu begitu teramat uzur. Beliau meminta supaya Saidina 'Uthman menulis untuknya seperti berikut: "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Inilah apa yang diamanatkan oleh Abu Bakr bin Abi Quhafah pada waktu terakhir kehidupan di dunia dan sedang keluar daripadanya, serta permulaan kehidupannya di akhirat dan sedang masuk ke dalamnya. Di mana ketika seperti ini seorang kafir akan beriman, seorang yang jahat akan yakin, dan seorang pembohong akan bercakap benar. Aku melantik untuk kamu semua selepas aku ini 'Umar bin al-Khattab.

Dengar dan taatlah kepadanya. Sesungguhnya aku tidak akan melewatkan sebarangkan kebaikan untuk Allah (keredhaanNya), RasulNya, agamaNya, diriku dan kamu semua. Sekiranya dia (Umar) berlaku adil, maka itulah sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia mengubahnya (kepada tidak adil), maka setiap orang akan menanggung dosa yang telah dilakukannya.

Aku bertujuan untuk kebaikan dan aku tidak pula mengetahui yang ghaib (keadaan masa hadapan). Maka nanti mereka yang zalim akan mengetahui di manakah tempat kesudahan mereka. Wassalam 'alaikum warahmatullah". (Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Fikr).

Surat ini menggambarkan betapa Saidina Abu Bakr sedarkan dirinya dan kita semua bahawa soal pemilihan mereka yang akan menguasai urusan rakyat mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak. Maka mereka yang hendak dipilih, hendaklah mereka yang kita yakin akan mampu menegakkan keadilan dan kemaslahatan umat.

Jika kita pilih mereka yang berpotensi merosakkan umat, maka itu adalah dosa yang teramat di sisi Tuhan. Juga, calon-calon yang dipilih itu hendaklah sedar bahawa neraka adalah kesudahan buat mereka yang zalim yang gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab kepimpinan.

Memilih calon atau mengundi walaupun kelihatannya ringkas sahaja sekadar meletakkan nama atau memangkah pada hari pengundian, tetapi kesannya amat besar terhadap masa depan sesebuah negara dan umat. Ia mampu menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan, atau keamanan dan kekacauan sebuah masyarakat.

Sebab itu dalam membuat pemilihan calon sama ada kita pemimpin atasan yang membuat penentuan nama-nama yang bakal bertanding atau rakyat bawahan yang akan mengundi, maka hadis berikut patut direnungi: sabda Nabi s.a.w "Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai ALLAH, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian, lalu dengannya ALLAH mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah.

Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah". (Riwayat Malik dalam Muwata`). Demikianlah pemilihan dan pengundian, walaupun bukan ucapan lisan, tetapi ianya ucapan bertulis yang membawa kesan yang teramat besar.

Kita begitu gembira apabila media-media kita melapor hasrat kepimpinan pertubuhan-pertubuhan politik untuk memastikan agar calon-calon yang diletakkan berkualiti. Kita harap itu semua menjadi kenyataan, bukan sekadar slogan.

Ya, rakyat juga sudah ramai yang bijak dan mula tahu menilai. Bukan masa lagi sekadar untuk berbangga dengan jenama parti, sedangkan wakil atau pemimpin yang dilantik tidak mempunyai kualiti yang mampu memastikan survival umat.

Kualiti sesorang calon bukan sekadar dilihat pada daerah, atau negeri atau umur atau latar pendidikan semata, 'muka lama' atau 'muka baru'. Sebaliknya, seperti yang selalu saya sebutkan hendaklah berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah seperti yang diajar oleh al-Quran. Al-Quwwah bermaksud kekuatan yang mewakili kemampuan atau kemahiran atau kecekapan melaksanakan tugas.

Sementara al-Amanah adalah nilai taqwa atau amanah dalam diri yang memastikan dia tidak akan mungkir terhadap janji dan menyeleweng dari tanggungjawab yang diberikan. Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya): "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah" (Surah al-Qasas: 26).

Apabila perwakilan Najran datang bertemu Nabi s.a.w dan meminta baginda menghantar wakil baginda hanya yang amanah yang dapat membimbing mereka. Maka Nabi s.a.w bersabda: "Aku akan mengutuskan bersama kamu seorang lelaki yang amanah, bahkan benar-benar amanah. Maka para sahabat Nabi s.a.w pun tertunggu-tunggu siapakah yang dipilih. Lalu baginda bersabda: "Bangunlah! Wahai Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah". Lalu Abu 'Ubaidah pun bangun dan baginda pun bersabda: "Inilah orang yang amanah bagi umat ini" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, Abu 'Ubaidah ialah seorang yang terkenal dalam rekodnya sebagai insan muslim mukmin yang bertegas kepada prinsip dan mengenepikan segala kepentingan diri. Dengan rekod itu, dia dicatat dengan ukiran kegemilangan ketika dia dilantik menjadi gabenor pada zaman pemerintahan 'Umar bin al-Khattab. Hidup dalam penuh kezuhudan dan menyebarkan keadilan untuk rakyat.

Saya kira, saya boleh mewakili suara rakyat jelata -pada umumnya- dalam hal ini; bahawa kita meminta kepada kepimpinan politik agar mengutuskan atau mencalonkan mereka yang bakal memimpin rakyat ini hanyalah yang amanah. Hanya yang insaf bahawa dia akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak tentang tanggungjawab yang akan diserahkan kepadanya.

Sabda Nabi s.a.w.: "Tidak ada seorang pemimpin yang menguruskan urusan orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh (menunai amanah) dan tidak menasihati mereka, maka dia tidak akan masuk syurga bersama mereka" (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lain baginda: "Tiada seorang pemimpin pun yang mengendalikan urusan rakyatnya dari kaum muslimin kemudian dia mati dalam keadaan dia menipu mereka melainkan Allah haramkan baginya syurga" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita tidak meminta ustaz atau syeikh sebagai calon. Ini kerana belum tentu gelaran-gelaran itu menjamin mereka mampu menunaikan amanah. Amanah adalah sikap dan keperibadian yang dapat dilihat dalam kehidupan insan, bukan pada gelaran dan panggilan. Justeru, permintaan kita mengatasi nama dan gelaran tetapi ciri dan kewibawaan.

Saya tidak mahu mempersoalkan 'muka lama' atau 'muka baru'. Kepimpinan bukan macam jamuan makanan yang sekali sekala kita ingin bertukar selera. Bukan tom yam atau sup atau mee bandung. Kepimpinan soal keadilan dan kemampuan menunaikan amanah yang diberikan tanpa penyelewengan.

Jika 'muka lama' terbukti mampu membela rakyat bawahan, fakir miskin, menyebarkan kebaikan, menghidupkan suasana yang membawa keredhaan Allah dan RasulNya, memajukan minda dan harta, menunaikan tuntutan dunia dan akhirat maka dia layak meneruskannya. Apa ertinya pula 'muka baru' jika dari awal sudah ada potensi negatif.

Namun jika 'muka lama' terbukti menyeleweng, tidak amanah, mementingkan diri, melupai tanggungjawab yang diberikan, maka inilah peluang untuk dibarukan 'muka' seperti itu. Firman Allah: (maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu." (Surah an-Nisa' ayat 58).

Sesiapa yang miliki ciri-ciri yang menjadikan dilayak memegang kuasa, maka diberikan kepadanya tanpa bertanya muka lama atau baru. Para al-Khulafak al-Rasyidin memerintah sampai ke akhir hayat. Namun rakyat tetap menangisi hari kematian mereka sebagai tanda khidmat mereka masih diperlukan. Malangnya di kalangan kita hari ini kadang kala baru berkhidmat beberapa bulan, rakyat menangis kerana khidmat mereka mengundang kesusahan.

Soal kelayakan, kepakaran dan kecerdikan memang penting bahkan teramat penting. Namun jika tidak diiringi dengan perasaan gerun terhadap amanah jawatan yang diserahkan kepadanya, maka berbagai kerosakan dek kecerdikan boleh berlaku.

Kita sudah amat keletihan dengan berita-berita perbicaraan rasuah dan penyalahangunaan kuasa yang tidak habis-habis dalam media kita. Umat ini mempunyai tanggungjawab dan kerja yang banyak yang mesti disiapkan. Kita tidak ada cukup masa untuk melayan dan bertungkus-lumus dengan laporan-laporan yang seperti itu.

Misi-misi penting yang ingin dicapai oleh negara tidak akan tercapai jika kelancaran perjalanan kita sentiasa diganggu oleh tangan-tangan yang tidak amanah terhadap peruntukan kuasa yang diberikan kepadanya. Misi-misi penting dan besar negara yang kita laung-laung memerlukan tenaga yang berjiwa besar dan amanah.

Ramai sahabah Nabi s.a.w. yang handal di medan pertempuran. Namun baginda tidak membuat pemilihan secara sebarangan bagi misi-misi penting tertentu. Sebab itu dalam misi Peperangan Khaibar, Nabi s.a.w menyebut: "Aku akan utuskan seorang lelaki yang dia kasihkan Allah dan RasulNya, juga Allah dan RasulNya kasihkan dia. Dia bukan seorang yang akan lari dari medan". Maka orang ramai pun ternanti-nanti, lalu dilantik 'Ali dan diserahkan bendera kepadanya" (Riwayat Ibn Majah, sahih).

Pemilihan yang tepat dalam memastikan visi dan misi dapat ditunai adalah penting. Bukan semua yang memakai gelaran yang hebat seperti Professor atau Dr berkemampuan dalam siasah. Kewibawaan politik berbezaan antara seorang dengan seorang yang lain. Walaupun soal latar pendidikan itu penting tapi bukan semua yang berpendidikan tinggi itu berkemampuan dalam politik.

Lebih dukacita lagi jika pemilihan dibuat atas simpati hubungan keluarga atau persahabatan semata. Bukan lagi ciri kelayakan dan kewibawaan. Seperti mana yang kita tahu bahawa Nabi s.a.w sayangkan Abu Zar r.a. seorang sahabat baginda yang begitu soleh. Namun apabila Abu Zar meminta jawatan, baginda bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim". (Riwayat Muslim).

Lemah Abu Zar bukannya lemah iman, tetapi lemah ciri-ciri kepimpinan. Kalaulah Nabi s.a.w yang sayangkan Abu Zar tidak melantiknya kerana ciri-ciri yang tidak dimilikinya, apakah kita akan melantik sahabat handai dan kaum keluarga kita sekalipun tidak layak?. Kita mengkhianati amanah.

Seperti yang pernah saya sebutkan, kita ketandusan tokoh-tokoh kepimpinan yang dapat menonjolkan idealisme yang mampu membimbing rakyat sehingga perasaan rakyat begitu terikat dengan perjuangan kepimpinan. Setia tanpa mengharapkan habuan, menyokong dan mendokong cita-cita tanpa mengharapkan ganjaran.

Hal ini tidak boleh berlaku melainkan lahirnya tokoh-tokoh kepimpinan yang dikagumi keperibadiannya dan dirasai keikhlasan. Jelas pula hala perjuangan dan perlaksanaannya. Wajah kepimpinannya bukan taburan harta, tetapi kematangan minda yang mampu menjadikan harta berfungsi dengan saksama dan cemerlang. Slogan-slogan yang dilaungkan bukan lagi sekadar retorik, sebaliknya penghayatan yang dibuktikan ia bermula dengan dirinya sendiri. Jika sekadar menjanji, ramai yang boleh janji berbagai perkara.

Saya salah seorang dari rakyat biasa yang bukan ahli politik sedang melihat berbagai gelagat orang berbagai parti. Ada yang lucu, ada jelas bohongnya, ada yang hasad, ada lebih lajak dari laju, ada mempergunakan nama agama, atau bangsa untuk kepentingan kempen dan berbagai.

Dari gaya kempen, dapat dikenali watak calon dan partinya. Namun yang perlu diingatkan, pilihanraya bukan musim menghalalkan yang haram sehingga seseorang merasa dia boleh berbohong, atau memaki-hamun, menjatuhkan maruah, mencerca orang tanpa batasan syarak, atau menyalahgunakan apa yang dimilikinya dan seumpamanya.

Sabda Nabi s.a.w: "Bukan seorang mukmin itu pencerca, atau pelaknat, orang yang bercakap keji dan kesat" (Riwayat al-Tirmizi, sahih). Jika itulah gelagat buruk sebelum mendapat jawatan, saya cadangkan kita jangan beri undi kepada manusia jenis ini. Itu adalah kedangkalan dan kerendahan budi yang tidak tahu bagaimana mengalurkan buah fikiran secara matang.

Gereja di Malaysia berkempen untuk kebebasan beragama menjelang PRU ke-12


Alihbahasa sorotan oleh Wartawan Associated Press, Sean Yoong


Gereja-gereja di Malaysia sedang berhati-hati bergerak ke dalam arena politik dengan gesaan supaya masyarakat Kristian mengundi calon yang memperjuangkan kebebasan beragama pada pilihan raya akan datang.

Gesaan tersebut mencerminkan kegelisahan masyarakat agama minoriti di Malaysia yang merasakan hak asasi mereka sedang dihakis. Ramai daripada mereka menyalahkan birokrat Islam yang dianggap keterlaluan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Hujung minggu lalu pihak gereja mula menyebarkan risalah mendesak masyarakat Kristian mengkaji semula pendirian serta rekod parti-parti politik berhubung "kebebasan beragama, suarahati dan hak bersuara" sebelum membuang undi pada 8 Mac nanti.

Setiausaha Eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia, Hermen Shahstri berkata, "kita mahukan setiap ahli politik mempunyai tanggung-jawab."

Katanya lagi, "Ramai di antara kita tidak akan mengundi calon yang tidak berani bersuara mempertahankan hak beragama."

Persekutuan Kristian Malaysia adalah gabungan Majlis Kristian Protestant Malaysia, Roman Katolik dan Fellowship Evangelis Kebangsaan.

Walaupun ada di antara gereja yang telah menyuarakan perkara ini di masa lalu, namun ramai daripada penganut Kristian memandang berat keputusan pilihanraya umum kelak berdasarkan apa yang mereka anggap sebagai "trend Islamisasi dan bagaimana ia memberi kesan kepada komuniti agama-agama lain," tambah Shahstri lagi.

Sambil menegaskan bahawa gereja-gereja masih berkecuali, beliau berkata kempen tersebut bukanlah berupa pengesahan daripada parti-parti pembangkang sekular yang menuduh kerajaan membiarkan diskriminasi agama berlaku lantaran menyebakan ketegangan dan ketidakharmonian di antara kaum di Malaysia.

Kira-kira 60 peratus daripada 27 juta rakyat Malaysia terdiri daripada kaum Melayu etnik beragama Islam. Yang lainnya terdiri daripada masyarakat Cina dan India yang beragama Kristian, Buddha dan Hindu.

Shastri berkata Persekutuan Kristian berkerjasama dengan persatuan agama Buddha dan Hindu untuk menyebarkan risalah-risalah yang sama di kuil-kuil.

Kaum minoriti di Malaysia berasa tidak senang berikutan beberapa perkembangan sejak kebelakangan ini, seperti langkah kerajaan mengharamkan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan Kristian berbahasa Melayu, pemusnahan kuil-kuil Hindu dan keputusan-keputusan mahkamah yang dianggap memihak kepada orang Islam dalam kes-kes membabitkan orang bukan Islam.

Ahad lalu Perdana Menteri Abdullah telah memberi jaminan kepada kumpulan-kumpulan minoriti bahawa beliau "jujur dan adil" dengan semua agama.

Dalam ucapannya kepada pengundi Cina Abdullah berkata, " memang benar terdapat beberapa salah-faham kecil, tetapi apa yang penting kita bersedia berbincang dan mencari penyelesaian bersama kepada segala masalah."

Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berkata inistiatif pihak gereja "pasti akan dapat membantu dalam usaha mewujudkan sedikit sebanyak kesedaran politik," tetapi ia tidak akan mampu mempengaruhi untuk memenangi undian yang banyak bagi pembangkang.

Ramai di kalangan masyarakat Kristian, terutama mereka daripada kelas pertengahan menyokong Barisan Nasional pimpinan Abdullah kerana mereka tidak mahu menggugat keadaan semasa," tambah Kok.

Barisan Nasional di anggotai 14 parti yang mewakili pelbagai kumpulan etnik. Kerajaan campuran yang telah memerintah sejak 1957 ini dijangka akan mudah mempertahankan kedudukannya kali ini, tetapi dengan majoriti kerusi Parlimen yang lebih rendah berikutan ketegangan agama, isu inflasi, jenayah dan rasuah.

The absurdity thats HINDRAF

IN less than three weeks, Malaysians will go to the polls as the defining embodiment of their democracy.

 

Casting their votes in the 12th general election, they will express in no uncertain terms their opinions of the Barisan Nasional government. It is an act of renewal that takes place every few years, a chance for the country to take stock, to consider its future and the direction in which it wishes to go. On Saturday, a small group of people staged an illegal rally and attempted to take the election hostage. The little support that remains for the Hindu Rights Action Force (Hindraf) gathered in the capital determined that the world should know that they are extremely unhappy.

What they are unhappy about exactly is not clear. This movement began with the wily use of an absurd suit, to sue the British government for STG4 trillion (RM25.26 trillion) for exploiting Indians as indentured labour in colonial Malaya. It did succeed in highlighting the plight of poor Tamils today. Next, its slick organisers hoped to repeat the trick, attempting to petition the Queen of England at the British High Commission in Kuala Lumpur. This time, it was to march to parliament to give the prime minister flowers. They haven't asked for more Tamil schools, for more jobs in the civil service for Indians. They haven't asked for more welfare support for underprivileged Indians. The Malaysian Indian Congress did all that, capitalising on an opportunity that Hindraf's organisers threw away.

So, what is Hindraf actually fighting for, precisely? They have the same number of votes as every other Malaysian -- one man, one vote -- so they aren't the heroes of a burgeoning Malaysian civil rights movement. They are citizens of a country where more than two million foreigners work, both legally and not, so they can't possibly believe there are not enough jobs. What they have done is to claim Hindus have been marginalised, accuse the government of ethnic cleansing, and beg for their five leaders to be released from detention under the Internal Security Act. They are also doing the BN a favour. They have made themselves widely resented in Kuala Lumpur for disrupting the lives of thousands of peace-loving city folk. They have obscured the fact that there are opposition parties making legitimate attempts to participate in the democratic process and respect elections as a venue for demanding change. It just doesn't look like they are fighting to raise any constructive points. Maybe, it really is for the money.

Saturday, February 16, 2008

Anwar Ibrahim Faktor Penentu PRU 12?



 

Strategis. Sekiranya ada satu perkataan yang dapat menggambarkan Dato' Seri Anwar Ibrahim, itulah perkataannya. Anwar memang berminat main catur politik. Berbeza dengan seorang lagi bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam yang selesa memegang pelbagai jawatan di sektor korporat, Anwar memilih untuk kekal dalam politik. Dia tidak mahu bertanding dalam pilihanraya, sebaliknya memilih peranan sebagai "kingmaker". Sebagai "kingmaker", Anwar meletakkan dirinya di atas semua parti politik. Malah, dia meletakkan dirinya di atas Perdana Menteri, hatta semua pemimpin politik. Dia ingin menjadi penentu.

"Sumbangan" Anwar "menyatukan" pembangkang memang diketahui. Tanpa Anwar, PAS dan DAP masih bercakaran. Sekarang PAS dan DAP sudah boleh berkawan, walaupun dalam proses itu mereka menjadi bagaikan lembu dicucuk hidung oleh Anwar. Itu tidak penting kepada mereka. Yang penting, mereka tidak menjadi penghalang kepada impian kejayaan satu sama lain. Memang diketahui bahawa PAS dan DAP cukup berhajat untuk satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional. Mereka berpendapat lebih mudah menang jika satu lawan satu. Oleh itu, jangan pecah undi.

Dalam UMNO, hubungan Anwar dengan beberapa orang pemimpin parti memang menjadi rahsia terbuka. Nanti laman web ini akan dedahkan siapakah petualang dalam UMNO yang berhubung dengan Anwar. Buat masa ini cukup kalau dikatakan keakraban hubungan antara Anwar dan Khairy Jamaluddin adalah bukti betapa wujud hubungan yang dimaksudkan. Peristiwa Khairy menghantar paspot ke rumah Anwar menyokong kenyataan ini. Hubungan mereka lebih dari setakat menghantar paspot.

Anwar bersandiwara apabila dia berkata Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ingin menyekat dia bertanding dengan mengadakan pilihanraya umum ke-12 lebih awal. Sandiwara yang sama dilakonkan apabila Anwar tidak layak bertanding sebagai Presiden PKR. Hakikatnya, Anwar tidak mahu bertanding dalam PRU ke-12, dan Anwar juga tidak mahu menjadi Presiden PKR. Anwar lebih besar dari Presiden PKR. Anwar is above everything else. Anwar by himself is the institution. Inilah imej yang cuba dibina oleh Anwar.

Kalau Anwar menjadi Presiden PKR, dia hanya menjadi ketua sebuah parti kecil yang hampir mati. Untuk dilihat sebagai relevan, Anwar perlu meletakkan dirinya sebagai de-facto ketua pembangkang, di atas semua parti-parti politik. Itulah sebab Anwar tidak mahu menjadi Presiden PKR. Anwar juga tidak mahu bertanding pilihanraya dan menjadi ahli parlimen biasa. Dia pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, buat apa terhegeh-hegeh di parlimen sekarang. Lagi pun kalau menjadi ahli parlimen, dia terpaksa berbahas cakap dengan Dato' Seri Najib Tun Razak, Dato' Seri Nazri Aziz atau Dato' Ahmad Zahid Hamidi. Kesemua mereka ini adalah merupakan pengikut (malah satu pasukan) Anwar sewaktu beliau dalam UMNO dulu.

Satu-satunya pilihan yang ada ialah untuk Anwar meletakkan dirinya di atas semua parti-parti pembangkang dan UMNO. Dia tidak mahu menjadi ahli parlimen, tetapi Anwar mahu menentukan siapakah yang akan menjadi ahli parlimen. Inilah permainan politik Anwar. Untuk mengelakkan Anwar terpaksa bertanding (atas desakan parti-parti pembangkang) dalam pilihanraya (dan menerima risiko kalah), maka Abdullah mengadakan pilihanraya lebih awal. Oleh itu, apabila Abdullah sekali lagi menyelamatkan Anwar dari risiko kalah pilihanraya, dan Anwar pula menguasai parti-parti politik pembangkang seperti DAP, PAS dan PKR, anda bayangkanlah apakah yang berlaku dalam senario politik negara ini. Siapakah yang akan mencucuk hidung, dan siapakah yang dicucuk hidung.

Akhir sekali persoalan yang perlu ditanya ialah adakah Anwar mampu menjadi "kingmaker" dalam PRU ke-12? Atau mungkinkah PAS dan DAP akan bersikap seperti anjing tersepit yang dilepaskan oleh Anwar Ibrahim; bukan sahaja tidak tahu berterima kasih, malah menggigit dan membunuh tuannya itu? Strategis? Fikirkanlah!

Friday, February 15, 2008

Puteri UMNO mahu Noraini dicalonkan


Pergerakan Puteri UMNO berharap pucuk pimpinan parti mempertimbangkan supaya Ketua pergerakan itu, Datuk Noraini Ahmad dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya umum ini.
 
Menurut Setiausaha Puteri UMNO Bibi Sharliza Mohd Kahlid, "Ini adalah sebagai pengiktirafan Noraini sebagai ketua pergerakan itu selama ini."
 
Puteri UMNO, tambahnya lagi, juga berharap lebih ramai calon dari pergerakan itu disenaraikan untuk bertanding pada pilihan raya umum ini.
 
Bibi Sharliza berkata berdasarkan khidmat bakti, pengalaman serta kematangan anggota pergerakan itu sejak Puteri UMNO itu diwujudkan pada 2001, ramai di kalangan anggota Puteri yang berkelayakan dan berkebolehan untuk memimpin.
 
Tambahnya lagi, "Selain berharap dua kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri yang diperuntukkan kepada Puteri pada pilihan raya umum 2004 dikekalkan, kami bersyukur jika kerusi berkenaan dapat ditambah pada pilihan raya umum ini."