Pergerakan Puteri UMNO berharap pucuk pimpinan parti mempertimbangkan supaya Ketua pergerakan itu, Datuk Noraini Ahmad dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya umum ini.
Menurut Setiausaha Puteri UMNO Bibi Sharliza Mohd Kahlid, "Ini adalah sebagai pengiktirafan Noraini sebagai ketua pergerakan itu selama ini."
Puteri UMNO, tambahnya lagi, juga berharap lebih ramai calon dari pergerakan itu disenaraikan untuk bertanding pada pilihan raya umum ini.
Bibi Sharliza berkata berdasarkan khidmat bakti, pengalaman serta kematangan anggota pergerakan itu sejak Puteri UMNO itu diwujudkan pada 2001, ramai di kalangan anggota Puteri yang berkelayakan dan berkebolehan untuk memimpin.
Tambahnya lagi, "Selain berharap dua kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri yang diperuntukkan kepada Puteri pada pilihan raya umum 2004 dikekalkan, kami bersyukur jika kerusi berkenaan dapat ditambah pada pilihan raya umum ini."
Friday, February 15, 2008
Puteri UMNO mahu Noraini dicalonkan
Kebingungan Barisan Alternatif
Berapa lama agaknya pakatan DAP- PAS- PKR boleh bertahan? Apakah rakyat boleh mempercayai bahawa mereka boleh menubuhkan kerajaan? Bijakkah jika mana mana kaum kehilangan suara dalam kerajaan? Apa jua masalah dan ketidakpuasan hati rakyat daripada mana-mana kaum boleh diperjuangankan tetapi mereka mestilah BA berada dalam kerajaan dulu, baru ada orang mahu mendengar.
Semasa Anwar dalam kerajaan dahulu, apa yang dia tak buat? Kawan baiknya pun towkay Magnum, tapi sekarang dia menuduh orang lain pulak. Berapa banyak pink-form di berikan kepada orang Sabah semata-mata kerana hendak membeli sokongan dalam UMNO pada 1993 untuk mengalahkan Tun Ghaffar Baba? Inikah orang yang amanah? Cara naik dalam kerajaan pun korup. Sekarang dia nak perkudakan DAP dan PAS pula.
Anwar, PAS dan PKR bejanji akan membelanjakan RM10 billion bagi tujuan untuk menurunkan harga minyak, padahal sekarang ini pun Kerajaan terpaksa berbelanja menampung subsidi RM36 billion. Mana masuk akal? Keuntungan PETRONAS 80% adalah daripada perusahaan dan perniagaan di luar negara. Apakah kita nak membiarkan Anwar menghancurkan Petronas sedangkan ia satu-satunya syarikat global negara yang paling maju. Tak masuk akal langsung.
Semasa Anwar jadi TPM, bapanya, adik beradiknya, mertuanya - semua menjadi kaya raya. Sesetengahnya menjadi Pengarah di berpuluh-puluh syarikat dan mendapat milik saham secara percuma. Apa namanya tu?
Masyarakat India kita adalah juga rakyat kita, apa logiknya dibawa aduan kepada negara India? Siapa yang menyibuk pergi ke India bersama dengan HINDRAF bagi mengadu supaya India mencampuri hal dalaman negara kita? Bukankah ini kerja pengkhianat? Mahukah kita serahkan kuasa kepada orang macam tu?
Di zaman kemelesetan ekonomi seluruh dunia sekarang, apa untungnya kita adakan demonstrasi-demonstrasi jalanan yang menakut-nakutkan pelawat dan pelancung sedangkan pendapatan negara masakini banyak bergantung kepada sektor pelancongan? Jangan lupa majoriti rakyat masih menyokong kerajaan yang sedia ada. Dalam hal ini langkah memilih mereka akan hanya menggalakkan mereka menjadi lebih ghairah dan ganas.
Apakah kita sanggup melihat sektor pelancongan negara merosot sedangkan ia baru nak naik?
Ketuanan Melayu: Jawapan tomahan Johari Abdul & mereka yg sesat sejarah...
Dipetik dari blog Lenggong Valley
Maksud Ketuanan Melayu ialah Raja Melayu sebagai Ketua Negara, Ketua Agama Islam serta Adat Istiadat Melayu, Islam sebagai agama rasmi , Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi negara, dan Hak-Hak Istimewa Bumiputra. Ini semua ada dalam Perlembagaan Negara.
Di mana terpesongnya agensi-agensi kerajaan yang membela Perlembagaan Negara? Mana-mana pihak yang menjejaskan kestabilan perlu ditangani dan didedahkan kerana mana-mana agensi kerajaan yg bertanggungjawab semestinya akan mempertahankan kestabilan negara serta segala undang-undang yang tersedia dipakai.
Yang terpesong adalah PKR. Parti itu cuba menghakiskan kesemua artikel dalam Perlembagaan bersabit Ketuanan Melayu tanpa memikirkan fakta sejarah serta fakta bahawa Orang Islam/Melayu adalah majoriti di Malaysia dan bahawa majoriti penduduk di Nusantara adalah beragama Islam.
Undang-undang dalam Perlembagaan boleh dipinda tetapi mesti ikut proses yang sah . Artikel 10 yang menjamin Hak Asasi itu terbatas oleh artikel-artikel yang terdahulu, iaitu kedudukan Raja Melayu sebagai Penjaga Agama Islam. Ia juga terbatas oleh Agama Islam (Artikel 3) yang merupakan agama rasmi negara.
Usaha mengubah undang-undang tidak sesuai dilaksanakan melalui penajaan demonstrasi jalanan yang ganas dan menakut-nakutkan masyarakat umum. Tindakan sebegitu merugikan ekonomi negara.
Mereka dalam PKR yang mengkritik agensi-agensi kerajaan sekarang, dulu juga berada di dalam Kerajaan dan banyak menyalahguna kuasa serta kedudukan. Antara contoh terserlah, Anwar sendiri, yang banyak memberi keuntungan kepada rakan dan saudara-mara.
Thursday, February 14, 2008
Siapakah calon BN di Parlimen Lembah Pantai?
Lembah Pantai telah banyak berubah sejak tahun 1995 hingga kini. Dulunya dipenuhi dengan rumah setinggan yang tatkala hujan lebat menyebabkan banjir kerana tiada sistem perparitan sempurna dan tercatit sebagai kawasan tertinggi penduduk setinggan di Wilayah Persekutuan..Kini hanya tinggal 1,109 keluarga menanti untuk berpindah ke rumah yang lebih selesa dan dilengkapi pelbagai prasarana dan kemudahan infrastruktur. Pembangunan pesat dari segi ekonomi memberi banyak peluang pekerjaan kepada warga Lembah Pantai.
Deretan gerai di tepi-tepi jalan yang tidak teratur serta mengganggu lalu lintas terutamanya di sekitar Bukit Kerinchi telah pun ditempatkan semula di Dataran Sri Angkasa yang disediakan pelbagai kemudahan serta kelihatan teratur dan sedap mata memandang.
Terkini penduduk di Kg Haji Abdullah Hukum telah ditempatkan di Kawasan Perumahan baru yang jauh lebih selesa dan teratur di kawasan berdekatan. Sesungguhnya warga Lembah Pantai tak kira apa Bangsa wajar bersyukur kerana dengan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional pelbagai kemudahan dikecapi serta kebajikan golongan yang memerlukan tidak pernah diabaikan oleh Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau telah banyak membantu menyelesaikan masalah penempatan semula setinggan di Lembah Pantai dan membantu penyelesaian Perumahan Kos Rendah (PPRT) dan prihatin terhadap Persatuan Penduduk, NGO yang terlibat dalam soal kebajikan di Kawasan Lembah Pantai.
Parlimen Lembah Pantai yang telah dipimpin seorang Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil sejak tahun 1995.
Ketika Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat beliau telah banyak membantu hak-hak wanita dan golongan yang kurang upaya serta masyarakat keseluruhannya. Beliau juga telah banyak membela nasib golongan wanita dalam isu-isu yang membabitkan soal kebajikan dan hak-hak wanita hingga ke peringkat penggubalan undang-undang Syariah dan Sivil.
Biar kampung tergadai...itulah Anwar Ibrahim
Anwar Anwar Ibrahim adalah manusia yang tidak mahu kalah. Atau sekurang-kurangnya dia tidak mahu kelihatan kalah. Biar kampung tergadai, asalkan menang sorak.
Apabila disingkirkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dari UMNO, dia melawan. Anwar melawan bukan kerana prinsip parti UMNO. Adalah satu pembohongan kalau Anwar mengatakan dia keluar UMNO kerana tidak setuju dengan perjuangan parti itu. Anwar tidak pernah keluar UMNO. Hakikatnya ialah Anwar melawan UMNO kerana UMNO tidak mahu kepada Anwar.
Oleh kerana ingin terus kekal dalam parti UMNOlah, maka Anwar membuat demonstrasi besar-besaran apabila disingkirkan dari UMNO. Disebabkan tidak ada peluang untuk masuk UMNO semula, barulah Anwar "berjanji" dengan PAS dan DAP bahawa dia tidak akan masuk UMNO lagi. Dalam soal "janji", Anwar memang cekap. Sewaktu dalam UMNO dulu, Anwar pernah berjanji untuk tidak melawan Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO. Akhirnya, kita dapat melihat apa yang berlaku. Itu dulu. Sekarang kalangan dalaman UMNO tahu, bahawa beberapa orang Anwar cukup rapat dengan beberapa orang pemimpin atasan UMNO. Mereka masih merisik dan bekerjasama. Nanti kita dedahkan siapakah mereka itu.
Itulah politik Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim adalah manusia yang tidak mahu kalah atau kelihatan kalah. Prinsip yang sama itulah dibawa dalam politik parti pembangkang. Kalau Lim Kit Siang ada Lim Guan Eng dan Betty Chew, maka Anwar Ibrahim ada Datin Seri Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah. Kalau DAP ialah Parti Tiga Beranak, maka PKR juga mesti menjadi Parti Tiga Beranak.
Lantaran itulah, maka Wan Azizah diumumkan akan kekal bertanding di Permatang Pauh dan Nurul Izzah khabarnya akan bertanding di Lembah Pantai melawan Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil. Sejarah politik di Lembah Pantai tidak pernah menyebelahi PKR. Tetapi itu tidak penting bagi Anwar. Yang penting ialah membina dinasti politiknya. Penganalisis politik berpendapat tindakan Anwar meletakkan Nurul Izzah di Lembah Pantai ialah untuk menentukan dia terus menguasai parti itu. Dia tidak boleh bergantung selama-lamanya dengan loyalist parti seperti Azmin Ali. Anwar belajar betapa loyalist seperti Ezam Mohd Nor dan Nalakaruppan pun boleh meninggalkannya.
DAP cadang letak lebih ramai wanita di Pulau Pinang
DAP mungkin meletakkan lebih ramai calon wanita bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada pilihan raya umum kali ini.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya memandangkan wanita memberi sumbangan besar terhadap kemenangan DAP.
Katanya, "itu memang kita sentiasa fikirkan (menambah calon wanita). Setakat ini sekurang-kurangnya seorang calon wanita dikenalpasti berdasarkan tahap profesionalisme untuk bertanding di salah satu DUN di Pulau Pinang."
Lim berkata calon wanita baru itu mampu memberikan saingan sengit kepada calon Barisan Nasional (BN). Dia setakat ini enggan mendedahkan identiti wanita yang bakal dicalonkan.
Pada pilihan raya lepas, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Chong Eng yang menang di Parlimen Bukit Mertajam merupakan calon wanita tunggal parti itu di negeri ini.
Hadi takut PAS kalah di Terengganu...
Kesediaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kepala Batas adalah tanda Presiden PAS itu tidak lagi yakin untuk menawan semula Terengganu daripada Barisan Nasional (BN).
Pak Lah berkata, "Ertinya dia tak yakin dah...dia kata dia nak ambil balik Terengganu (tetapi) dia lari nak pergi tempat lain. Apa cakap macam ni?"
Hadi, yang menjadi Menteri Besar Terengganu semasa PAS memerintah negeri itu pada 1999-2004 dikatakan sedia bertanding menentang Pak Lah dalam pertemuan satu lawan satu bagi kerusi Parlimen Kepala Batas di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 8 Mac ini.
Hadi berkata kesediaannya itu bergantung kepada keputusan pencalonan oleh parti pembangkang dan setakat ini parti tersebut menyerahkan kepada PAS Pulau Pinang untuk menetapkan calon menentang Pak Lah.
Pak Lah memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas bagi penggal ketujuh berturut-turut sejak mula bertanding pada pilihan raya umum 1978.
Pak Lah yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional menewaskan calon PAS Abdul Khalid Rasid dengan majoriti sebanyak 18,122 undi pada pilihan raya umum 2004, dan turut menang dengan majoriti 11,175 pada pilihan raya umum 1999 menentang calon sama.